MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD S.A.W BAGI KEMENTERIAN EKONOMI, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI SERTA JABATAN-JABATAN DAN BAHAGIAN-BAHAGIAN DIBAWAHNYA BAGI TAHUN 1448H/2026M
5 September 2026
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawahnya bagi Tahun 1448H/2026M telah diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Majlis tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Maulud Nabi di samping memperkukuh penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Ceramah khas bertajuk “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah” disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah. Ceramah menekankan kepentingan mencontohi akhlak mulia Rasulullah ﷺ sebagai asas membentuk keperibadian yang baik, melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta mewujudkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Para hadirin turut diseru supaya menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah ﷺ melalui penghayatan sunnah dan akhlak Baginda, termasuk mengamalkan sifat amanah, jujur, adil dan berakhlak mulia. Selain itu, kepentingan bermuhasabah, memperbaiki diri, meningkatkan ilmu serta menjaga adab turut ditekankan, khususnya ketika menggunakan media sosial dengan menghindari perbuatan menghina, memfitnah dan mendedahkan aib orang lain.
Majlis yang diungkayahkan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan itu turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh gabungan pendikir kementerian. Majlis dihadiri oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Pemangku Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, serta Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan dan warga kementerian serta jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawahnya.
