SIARAN AKHBAR


EKSPO PRODUK TEMPATAN 2024
BERSEMPENA PESTA DISEMBER BRUNEI KE-8

Hari Khamis, 26hb. Jamadilawal 1446H bersamaan 28hb. November 2024M

Bandar Seri Begawan – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Brunei Economic Development Board melalui Darussalam Enterprise (DARe) akan mengadakan Ekspo Produk Tempatan 2024 bersempena Pesta Disember Brunei kali ke-8 selama 4 hari, bermula 28hb. November hingga 1hb. Disember 2024 bertempat di Dewan 1 dan 2, BRIDEX, Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama adalah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. Turut hadir ke Majlis Pelancaran adalah Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Para Penaja dan Pegawai-Pegawai Eksekutif dari agensi-agensi yang terlibat.

Objektif Expo adalah satu usaha pihak Kerajaan dalam menyediakan platfom bagi syarikat-syarikat dan pengusaha-pengusaha tempatan mempromosikan dan meluaskan lagi pasaran produk masing-masing secara langsung kepada pembeli; mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk yang dihasilkan dan perkhidmatan yang disediakan; memberikan peluang kepada pengusaha- pengusaha dan syarikat-syarikat untuk menjana pendapatan; dan juga peluang bagi mengadakan sesi networking dan business-matching diantara pembekal dan pemborong untuk mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan yang sedia ada.

Lebih daripada 200 buah syarikat mengambil bahagian dalam ekspo ini bagi mempromosikan serta menjual pelbagai produk dan perkhidmatan keluaran para pengusaha tempatan yang terdiri daripada produk Pertanian dan Agrimakanan; Perniagaan, Kewangan dan Perbankan; Pembinaan dan Rekabentuk Dalaman; Produk dan Perkhidmatan Hiliran; Perikanan dan Pemprosesan Ikan; Makanan dan Minuman; Pelancongan dan Hospitaliti; Pengangkutan dan Logistik; Produk Perkayuan; Produk Kreatif; Perkhidmatan Pendidikan; Fesyen dan Pakaian; dan Teknologi dan Info-Komunikasi (ICT).

Turut diadakan sepanjang Ekspo ini adalah beberapa sesi taklimat yang diharap akan dapat memberikan manfaat kepada para pengusaha dan orang ramai yang berkunjung ke Ekspo ini, khususnya yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang peluang-peluang perniagaan dan keusahawanan; penjenamaan dan pemasaran; kod pemasaran makanan dan minuman yang berhemah kepada kanak-kanak; garispanduan permohonan lesen-lesen alat menangkap ikan; dan lain-lain. Selain daripada itu, beberapa aktiviti harian di samping turut berpeluang unutk memenagi hadiah menarik serta sesi tunjuk cara antaranya tunjuk cara pembiakan pokok buah-buahan, rice sensory taste dan lain-lain lagi yang mana sesuai untuk keluarga juga turut disediakan di sepanjang Ekspo ini.

Majlis pelancaran ekspo ini menandakan bermulanya pesta yang dinanti-nantikan orang ramai iaitu Pesta Disember Brunei kali ke-8 yang menampilkan pelbagai acara, aktiviti dan promosi menarik sepanjang musim cuti persekolahan bulan Disember. Ianya merupakan acara tahunan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan yang mana bertujuan untuk menggalakkan rakyat dan orang ramai bercuti dan berbelanja di dalam negara sekaligus mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Ekspo Produk Tempatan 2024 adalah disokong bersama oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), BMC Food Industries Sdn Bhd dan Sim Kim Huat (SKH) serta Imagine Sdn Bhd yang juga selaku pembekal perkhidmatan telekomunikasi rasmi bagi Ekspo ini. Ekspo Produk Tempatan 2024 adalah dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula pada 28hb. November 2024 sehingga 1hb. Disember 2024, dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam. Keterangan lanjut berkenaan ekspo ini boleh didapati di laman media sosial instagram @localproductexpo.bn.

/TAMAT
Disediakan oleh:
Jabatan Perikanan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Negara Brunei Darussalam

Khamis, 26hb. Jamadilawal 1446H / 28hb. November 2024M