LAWATAN KETIGA

SIARAN AKHBAR
LAWATAN YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA KE DESTINASI-DESTINASI PELANCONGAN DI DAERAH BELAIT

Sabtu, 02 November 2024 – Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini membuat lawatan ke beberapa lokasi pelancongan di Daerah Belait, iaitu sebagai lanjutan dari siri lawatan kedua yang telah diadakan pada hari Khamis, 17hb. Oktober 2024 yang lalu. Lawatan ini adalah merupakan siri lawatan ketiga dan terakhir yang bertujuan menyampaikan misi untuk mengangkat Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan utama yang memelihara warisan budaya dan semula jadi, selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian; di samping membudayakan sektor pelancongan yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi Negara.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Lawatan rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat dimulakan di Pusat Biodiversiti Hutan Tropika yang bertempat di Kampong Sungai Lumut, Belait. Pusat ini memainkan peranan penting dalam memelihara kekayaan biodiversiti negara, bukan sahaja sebagai hab pemuliharaan tetapi juga sebagai sumber utama untuk menyebarkan maklumat tentang kepelbagaian ekosistem di rantau ini. Pusat ini terlibat secara aktif dalam usaha penyelidikan dan pendidikan serta memastikan orang awam dan komuniti saintifik mendapat akses kepada pengetahuan berharga tentang keunikan flora dan fauna Negara Brunei Darussalam.

Rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat seterusnya melawat Syarikat Pertanian Tropikal Utama (Labi Coffee Farm), Kampong Rampayoh, Mukim Labi. Ladang kopi tersebut mempunyai 18,000 pokok kopi jenis Arabica dan Robusta dan mempunyai keluasan lebih 9 hektar.

Lawatan diteruskan lagi ke Rumah Panjang Teraja, Labi. Rumah Panjang ini adalah sebuah rumah komuniti etnik Iban yang terletak di penghujung Jalan Labi. Komuniti ini juga ada menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong bagi aktiviti merentas hutan yang mana laluan tersebut akan membawa para pengunjung ke Wasai Teraja. Jabatan Kemajuan Pelancongan telah membuat perancangan untuk membangunkan jambatan kecil menuju ke Wasai Teraja dan Wasai Belulok dibawah projek Rancangan Kemajuan Negara ke-11 yang mana rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat turut membuat lawatan ke tapak projek berkenaan.

Rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat seterusnya melawat Rumah Panjang Mendaram Besar, Labi. Komuniti di Rumah Panjang ini memperkenalkan budaya etnik Iban termasuk mengetengahkan hasil anyaman dan kraftangan.

Dari Rumah Panjang Mendaram Besar, lawatan diteruskan ke Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak, Labi. Taman Rekreasi ini merupakan sebuah tempat riadah alam semula jadi dan juga tempat penerokaan pelbagai spesis flora dan fauna; dan pelbagai jenis burung di Mukim Labi. Jabatan Kemajuan Pelancongan telah menaiktaraf infrastruktur walkway dan pondok riadah sebanyak tiga fasa dibawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11.

Lawatan berakhir di Herbarium Negara di Pusat Perhutanan Sungai Liang, Labi. Herbarium Negara merupakan tempat penyimpanan koleksi spesimen tumbuh-tumbuhan kering yang terdiri daripada spesis pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan herba yang terdapat di negara ini. Sehingga ini Herbarium Negara telah menyimpan sebanyak lebih kurang 47 ribu koleksi tumbuh-tumbuhan. Ianya berperanan sebagai pusat rujukan penting bagi biodiversiti hutan negara, khususnya tumbuh-tumbuhan dan juga merupakan pusat ilmiah, pengajian dan penyelidikan spesis hutan-hutan negara yang sering dimanfaatkan dan dijadikan sebagai sumber rujukan oleh para graduan, pensyarah dan penyelidik serta saintis dari dalam dan luar negara.

/TAMAT.
Dikeluarkan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Bahagian Pengurusan dan Kewangan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan